NUFFNANG

Wednesday, 3 October 2012

Fokus kepada peperiksaan





MENJADI pelajar paling popular di sekolah, Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 7, tidak pernah melahirkan rasa benci selalu dikelilingi oleh rakan-rakan di sekolahnya.


Malah Mak Kiah dengar barang-barang Mia turut diambil oleh rakan-rakannya kerana terlalu menyukai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-24 menerusi filem Sekali Lagi itu.

"Pernah satu tahap dia dikelilingi ramai rakan sekolahnya ketika waktu rehat, tetapi dia tidak kisah dan boleh makan seperti biasa," ujar bapa Mia, Muhammad Ridhuan Muhammad Salleh ketika ditemui pada majlis sambutan hari ulang tahun Mia yang ketujuh di restoran pizza dan pasta Italiannies, pusat beli-belah Paradigm, Kelana Jaya, Selangor Ahad lepas.

Mia yang berada di samping bapanya itu hanya mengangguk dan memberitahu, antara barang-barang yang diambil terdiri daripada pensel dan pemadam miliknya.

Ditanya berapakah belanja yang dibekalkan bapanya setiap kali pergi ke sekolah, kata Mia, dia akan memperoleh sebanyak RM10 atau RM20 sehari, tetapi menasihatinya agar menggunakan hanya RM2 sahaja untuk berbelanja.

"Walaupun saya pesan belanja hanya RM2, tetapi dia tetap menghabiskan wang yang saya beri. Saya beri dia belanja yang banyak bukan untuk bermewah, tetapi untuk mengajar dia supaya pandai pegang dan uruskan duit sendiri," luah Ridhuan.

Bercerita mengenai jadual seni Mia, ungkap Ridhuan, buat masa ini Mia terpaksa berehat daripada berlakon kerana ingin fokus pada peperiksaan penggal akhir yang akan bermula pada 8 Oktober ini.

"Mia sudah berehat daripada berlakon sejak bulan Ramadan lalu. Sepanjang tempoh berehat, Mia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon drama, filem atau iklan. Kecuali jika ada sesi fotografi atau majlis yang memerlukan Mia menghadirkan diri, dia akan menyertainya. Mia perlu juga menonjolkan diri pada majlis-majlis media supaya nama dia tidak dilupakan," jelas Ridhuan.

Tidak mengabaikan pelajaran anaknya, menurut Ridhuan, dia akan memastikan Mia turut berjaya dalam pelajaran selain berjaya dalam bidang lakonan.

"Sekarang ini pelajar-pelajar sangat kompetitif. Saya tidak mahu dia buat sambil lewa, tetapi dalam masa yang sama saya juga tidak mahu paksa dia untuk buat yang terbaik," jelasnya lagi.


ANAK kecil berbakat besar ini sangat rapat dengan aktres jelita, Lisa Surihani.

Tidak hanya memantau pelajaran anaknya, Ridhuan juga akan mengupah tutor untuk datang ke rumah mengajar Mia bagi mata pelajaran yang lemah.

Ditanya apakah mata pelajaran yang paling Mia suka, kata Ridhuan, Mia paling menyukai Matematik.

Ridhuan turut ditanya mengenai pembabitan Mia yang kini dilihat kurang muncul dalam iklan komersial. Ulas Ridhuan, dia terpaksa selektif memilih kerana kebanyakan iklan memerlukan Mia pergi melakukan uji bakat.

"Bukan saya sombong tidak mahu Mia melakukan uji bakat untuk iklan, tetapi saya kena selektif untuk kebaikan dirinya," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

NUFFNANG